SEMANGAT JUANG TINGGI SERAI WANGI DI HWS 2017 WAJAR DIPUJI

HUSM, 21 Ogos 2017 -  Penyertaan kontinjen Serai Wangi dalam Hari Warga Staf (HWS) Universiti Sains Malaysia (USM) 2017 baru-baru ini yang telah berjaya mempamerkan semangat juang dan kerjasama pasukan yang tinggi dalam setiap acara yang dipertandingkan harus dipuji.

Perkara ini adalah seperti yang disampaikan oleh Ketua Kontinjen, Profesor Dr. Azlina Binti Harun @ Kamaruddin dalam ucapan beliau ketika program yang telah berlangsung pada 18 hingga 19 Ogos 2017 di Kampus Kesihatan USM, Kota Bharu, Kelantan ini.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat kerana telah berusaha sehingga ke saat akhir dan telah memberikan yang terbaik. Saya percaya banyak yang telah kita pelajari melalui pengalaman bertanding di HWS 2017.

“Keberadaan kita di sini juga, bukan semata-mata untuk kemenangan, apa yg lebih penting adalah ukhwah dan persaudaraan antara kita dan saya nampak itu adalah hasilnya,” tambah Azlina.

Selain daripada itu, Azlina turut berharap agar warga kampus kejuruteraan dan USM secara umumnya, akan terus bersatu dalam menyumbang bakti kepada Universiti yang kita cintai ini.

Sebanyak lima kontinjen yang mewakili kampus-kampus di USM iaitu Serai Wangi (Kampus kejuruteraan), Duri Tujuh (Institut Perubatan dan Pergigian Termaju), Halia Bara (Kampus Induk) serta Jarum Mas dan Misai Kucing yang masing-masing mewakili Kampus Kesihatan terlibat dalam HWS 2017.

Manakala, sembilan (9) acara seperti Boling, Larian Dalam Kampus, Treasure Hunt, Sukaneka, Tarik Tali, Duathlon, Master Chef dan Persembahan Lakonan Berkumpulan telah dipertandingkan.

Pengarah Kampus, ketika ditemui dalam satu majlis yang berlainan turut menyampaikan ucapan tahniah beliau di atas penyertaan Kampus Kejuruteraan dalam HWS tahun 2017 memandangkan ini adalah salah satu daripada aktiviti yang digalakkan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

“Sememangnya kita akan kembali bersaing dalam HWS yang akan datang dengan sasaran yang lebih baik bersama-sama dengan persediaan awal daripada setiap mereka yang bertanding.

“Malah, saya tidak menafikan faktor pertindihan pelbagai acara yang sedang diadakan di Kampus Kejuruteraan termasuklah satu persidangan antarabangsa yang melibatkan kakitangan daripada Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) memainkan peranan besar dan menyumbang kepada kurangnya penglibatan atlet di HWS 2017,” kata Azazi lagi.

HWS 2017 menyaksikan kemenangan berpihak kepada Kontinjen Misai Kucing sebagai johan, Kontinjen Duri Tujuh sebagai naib johan dan Kontinjen Jarum mas berada di tempat ketiga.

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI