GRADUAN USM HARUS MENCIPTA KERJAYA – NAIB CANSELOR

WhatsApp Image 2017 09 05 at 6.50.07 PM

NIBONG TEBAL, 5 September 2017 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail menyarankan agar graduan dan bakal graduan universiti untuk menjadi pencipta kerjaya dan bukan semata pencari kerjaya.

Perkara ini menurut beliau adalah bertepatan dengan situasi dunia hari ini yang menyaksikan lambakan graduan mengatasi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

WhatsApp Image 2017 09 05 at 6.50.06 PM

“Status APEX dan universiti yang berasaskan penyelidikan USM merupakan satu landasan kukuh untuk kita memberi dan menjadi yang terbaik berbanding Institut Pengajian Tinggi yang lain,” tambah Asma.

Asma berkata demikian di hadapan 604 orang pelajar baharu Kampus Kejuruteraan yang mendaftar bagi Sidang Akademik 2017/2018.

WhatsApp Image 2017 09 05 at 6.50.09 PM

Selain daripada itu, beliau turut menggesa agar pelajar menjadikan pengalaman menuntut ilmu di Kampus Kejuruteraan sebagai satu peluang yang tidak harus dipersia-siakan.

“Ini kerana pensyarah-pensyarah di kampus ini adalah antara pakar dan saintis terbaik yang diiktiraf di Malaysia dan di seluruh dunia.

“Malah, kita di USM seharusnya berbangga apabila Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria baru-baru ini telah berjaya menganjurkan 37th World Congress of International Association for Hydro-Environment Engineering and Research (IAHR 2017), yang disertai oleh 1,130 peserta daripada 60 buah negara,” kata beliau.

WhatsApp Image 2017 09 05 at 6.50.08 PM

Dalam pada itu, Asma turut memberi penekanan akan kepentingan menghasilkan solusi kepada sesuatu masalah yang berlandaskan kepada kelestarian komuniti dunia di masa akan datang.

“Sebagai jurutera di masa akan datang yang lahir daripada sebuah universiti yang sangat mementingkan nilai-nilai murni, saya mahu melihat graduan kita menghasilkan sesuatu yang akan memberi kegunaan kepada masyarakat untuk jangka masa panjang.

“Kita harus sedia untuk berkhidmat semula kepada mereka di luar sana dengan mengaplikasikan solusi berlandakan kepada segala ilmu yang dipelajari di universiti ini,” tambah Asma lagi.

Turut sama hadir adalah Profesor Dr. Zainal Ariffin Mohd Ishak, Ahli Lembaga Gabenor Universiti, Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia juga Pemangku Pengarah Kampus Kejuruteraan.

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI