SIMBOLIK PENYERAHAN PELAJAR KEPADA TPSK BERJALAN LANCAR

DSC 2275

NIBONG TEBAL, 26 Februari 2018 - Pusat Rancangan Kokurikulum Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menyempurnakan Majlis Penyerahan Pelajar kepada Tenaga Pengajar Sambilan Kokurikulum (TPSK) dalam satu majlis yang telah berlangsung pada hari ini.

Program yang diadakan ini merupakan acara simbolik rasmi yang dijalankan setiap semester dalam memperkenalkan semua tenaga pengajar untuk Kursus kokurikulum yang telah diwajibkan kepada semua pelajar yang terlibat.

Penyelarasnya, Dr. Mohd Salman Abu Mansor menggesa agar pelajar mengambil berat akan kepentingan kursus kokurikulum ini walaupun jumlah kredit yang yang diberikan adalah sedikit berbanding dengan kursus-kursus utama yang lain.

DSC 2244

“Malah, saya berharap agar masalah yang berlaku di tahun-tahun sebelum ini seperti masalah kelewatan dan ketidakhadiran ke kelas kokurikulum dapat diatasi dengan berpandukan panduan-panduan yang telah kita perjelaskan pada hari ini,” ujarnya.

DSC 2237

“Semoga, dengan dorongan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan ini juga akan memacu para pelajar USM untuk menjadi satu generasi pelajar yang H.E.B.A.T seperti yang telah ditekankan serta dikehendaki oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dalam perutusannya baru-baru ini,” tambah beliau.

Di majlis yang sama, turut diadakan adalah taklimat kursus Kokurikulum Berkredit yang disampaikan oleh Pengerusi Rancangan Sukan & Kebudayaan Pensyarah Universiti, Dr. Azam Taufik Bin Mohd kepada lebih kurang 600 orang pelajar yang hadir.

DSC 2246

“Semoga kelas-kelas kokurikulum pada semester dua sesi kemasukan 2017/2018 ini akan berjalan dengan lancar dan dijalankan dengan penuh tanggungjawab daripada kedua-dua belah pihak tanpa kemalangan dan kecederaan hendaknya,” kata Dr. Azam.

Lebih kurang 26 kursus terlibat pada sesi penyerahan pada kali ini antaranya adalah kursus yang WSC 105 (Bola Tampar), WSC 110 (Memanah), WSC 111 (Ping Pong), WSC 113 (Senamrobik), WCC 117 (Teater Moden) dan WCC 115 (Tarian Moden).

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI