H.A.C.U.S TAWAN TRANS-TITIWANGSA V1

HACUS 8

CAMERON HIGHLANDS, 2 April 2018 – Seramai 10 orang peserta Kelab Pendakian dan Perkhemahan Universiti Sains Malaysia (HACUS) telah menyertai ekspedisi Trans-Titiwangsa Versi 1 (V1) di sini baru-baru ini. HACUS telah mengaturkan program untuk merealisasikan impian menawan tiga puncak G7 sekali gus iaitu Gunung Yong Belar, Gunung Korbu dan Gunung Gayong atau lebih dikenali sebagai V1 selama 5 hari 4 malam dari 2 hingga 6 April 2018. Peserta terdiri daripada sekumpulan staf, pelajar dan alumni USM dari ketiga-tiga kampus utama USM.

Kebiasaannya, para pendaki lebih selesa melakukan pendakian secara ‘single’ Gunung Yong Belar atau Korga (Gunung Korbu dan Gayong) sahaja oleh sebab jarak pendakiannya yang jauh. Hal ini menjadikan ekspedisi Trans-Titiwangsa V1 lebih ekstrim dan bukan biasa-biasa.

Ekspedisi kali ini ternyata agak sukar kerana trek laluan yang sangat basah di samping suhu yang sejuk akibat musim hujan yang melanda di kawasan pendakian tersebut. Peserta juga terpaksa menggalas beban beg yang berisi segala keperluan seperti makanan dan minuman serta pelbagai kelengkapan selama lima hari ekspedisi.

Walaupun berdepan dengan pelbagai kesukaran, semua peserta telah menunjukkan kesungguhan mengharungi laluan-laluan becak yang sangat mencabar kekuatan fizikal dan mental.

Air sungai yang begitu deras mampu menghanyutkan apa-apa sahaja yang melintasinya. Peserta terpaksa menyeberangi sungai itu dengan pelbagai teknik yang begitu mencabar akal budi masing-masing seolah-olah teknik itu dipelajari secara spontan dan ikut nasib. Sungguh ekstrim apabila peserta terpaksa berpaut tangan antara satu sama lain ketika menyeberangi sungai yang deras, dipenuhi batuan licin dan disusuli pula teknik mengesot di atas kayu balak seorang demi seorang sambil menghayunkan kaki agar badan dan beg berat yang digalas dapat bergerak bersama semasa melintasi sungai yang seakan-akan menantikan mangsanya.

Pengarah Program Ekspedisi Pendakian Trans-Titiwangsa V1, Mohd Fadzley Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Palie, 33, turut menyatakan bahawa ekspedisi pada kali ini sebahagian daripada usaha untuk membudayakan aktiviti lasak sebagai salah satu amalan gaya hidup sihat dalam kalangan para peserta terutama ahli HACUS itu sendiri dan juga sesiapa sahaja yang meminati sukan lasak dan aktiviti luar yang ekstrim.

Selaras dengan program #USMfit pada masa ini, aktiviti pendakian ini adalah antara aktiviti riadah yang relevan dan sangat dititikberatkan dalam kalangan warga kampus untuk melahirkan warga yang sihat dan menjadikan aktiviti pendakian sebagai aktiviti ‘mentadabbur alam’ iaitu menghayati alam dan mengagungkan Tuhan melalui alam ciptaan-Nya.

Pada tanggal 2 April 2018, peserta berkumpul seawal 3.30 pagi di Kompleks Sukan USM untuk mengagihkan bekalan makanan sepanjang lima hari ekspedisi. Seterusnya, para peserta bertolak dari USM menaiki bas ke Masjid Jamek Lojing, Cameron Hinghlans. Ekspedisi ini bermula dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk sampai ke kaki gunung dan aktiviti pendakian bermula tepat pukul 10.38 pagi setelah mendengar taklimat daripada guide En. Solahuddin atau lebih mesra dengan panggilan Abang Yo. Kami bermula dengan mengatur langkah demi langkah menaiki anak tangga. Dalam hati masing-masing sudah terdetik rasa penyesalan seolah-olah ingin pulang sahaja kerana menaiki tangganya sahaja berasa amat lenguh betis dan ditambah pula peserta terpaksa menggalas beban beg yang berisi barang keperluan selama lima hari di belakang masing-masing.

HACUS 2

HACUS 3

HACUS 4

Pada awal perjalanan ke Joe Farm, cabaran pertama terpaksa kami tempuhi apabila laluan paip telah diselaputi lumut dan berlumpur. Ia sangat licin dan kami perlu bijak mengimbangi badan agar tidak terjatuh ke dalam lecah yang agak dalam sehingga ke paras pinggang. Setelah melayan laluan paip yang sungguh licin itu, kami akhirnya sampai ke Joe Farm dan pendakian diteruskan lagi untuk sampai ke Kem Tudung Periuk. Akhirnya, tepat pukul 4.38 petang kami sampai di Kem Tudung Periuk dengan catatan pendakian sejauh 4.55 km. Di Kem Tudung Periuk, kami bersedia untuk memasang khemah, masak, mandi dan solat berjemaah.

HACUS 5

Episod pendakian pada hari kedua diteruskan lagi pada 3 April 2018 tepat pukul 8.32 pagi. Dari Kem Tudung Periuk kami meneruskan pendakian sehingga sampailah ke Kem Kasut pada pukul 2.30 petang untuk mengambil sumber bekalan air. Yang memenatkan kami, sumber bekalan air nun menjunam jauh ke bawah sana. Sungguh menyeksakan untuk mendapat setitik air. Catatan pendakian kami setakat ini ialah 3.54 km. Tanpa melengahkan masa, kami meneruskan pendakian sehingga sampai ke Puncak Yong Belar pada pukul 4.39 petang sejauh 4.78 km dalam keadaan yang basah kuyup kerana hujan lebat mencurah-curah seolah-olah merahmati kami kerana sudah sampai ke puncak G7. Kemudian, kami meneruskan lagi pendakian dari cerah hingga gelap bercahayakan lampu suluh di kepala masing-masing selama kira-kira tujuh jam tanpa henti dalam hujan lebat sehingga sampai ke puncak Anak Yong Belar dan kami berkhemah di situ. Masya-Allah, menggeletar seluruh tubuh masing-masing. Di celah-celah kesejukan itu, masing-masing kagum dengan kegigihan Encik Rosmanizam dan Palie yang tidak melengahkan masa untuk menyediakan juadah enak untuk kami semua.

HACUS 6

Hari ketiga, pada 4 April 2018 bermula agak lewat kerana cuaca hujan dan masing-masing kesejukan. Aktiviti pendakian diteruskan pada pukul 9.11 pagi dari puncak Anak Yong Belar. Kami meneruskan pendakian sehingga ke Puncak H20 dengan jarak 2 km dari puncak Anak Yong Belar. Kami tidak melengahkan masa dan meneruskan pendakian sehingga sampai ke Kem H20 pada pukul 2 petang dengan jarak 2.9 km. Lalu, kami meneruskan pendakian lagi dan lagi hampir lapan jam tanpa henti mencacak, mencanak, menegak sehinggalah sampai ke puncak Gunung Junction. Masing-masing sudah lelah dan guide berbincang dengan Palie dan kami pun bersepakat untuk berkhemah di situ. Bayangkanlah, betapa azabnya menghayunkan kaki tanpa henti berjam-jam sejauh 6.05 km dalam keadaan gelap di dalam hutan belantara yang tidak rata.

HACUS 7

Pada hari keempat tanggal 5 April 2018, kami meneruskan pendakian yang juga agak lewat iaitu pukul 9.35 pagi dari puncak Gunung Junction terus sampai ke Kem Cerek pada pukul 11.25 pagi. Di Kem Cerek, sumber bekalan air nun jauh ke bawah ibarat kata turun naik Gunung Semanggol sejauh 1.36 km. Syukurlah, semangat kerjasama dan nasihat guide agar yang ada kudrat lebih untuk turun mengambil air sebagai bekalan untuk minum dan masak. Tika itu, tidak terungkap dengan kata-kata betapa berharganya air. Setitik air pun tidak mahu dibazirkan. Bagi peserta yang baik budi turun ke bawah itu, mereka meluahkan rasa keperitan dan azab seksa kerana minda ligat memikirkan hal menjaga keselamatan diri dan bekalan air yang diambil untuk rakan-rakan yang lain. Pahala paling besar mereka dapat kerana mampu menghilangkan dahaga orang lain. Seterusnya, kami semua sampai ke puncak Gunung Gayong pada pukul 2.20 petang dengan catatan pendakian sejauh 3.55 km. Tanpa melengahkan masa kami terus ke puncak Gunung Korbu sejauh 6.01 km dan berkhemah di situ.

HACUS 1

Pada 6 April 2018, hari kelima dan hari terakhir untuk melabuhkan sauh pendakian kami dengan menuruni Gunung Korbu pada pukul 8.39 pagi. Dalam keadaan yang sejuk kami meneruskan episod akhir Ekspedisi Trans-Titiwangsa V1 ini ke Puncak Botak pada pukul 10.45 pagi dan sampai ke tempat sumber air terakhir pada pukul 12.15 tengah hari di Kem Kijang. Seterusnya, kami menuruni gunung dengan penuh berwaspada pada malang yang tidak pernah berbau. Laluan yang begitu licin kerana hujan turun mencurah-curah pada sepanjang pendakian menyebabkan aktiviti menuruni gunung menjadi perlahan dan air sungai melimpah serta arusnya menjadi begitu deras. Ada yang kuku kaki pun hampir tertanggal kerana kasut dan stoking sentiasa basah membaluti kaki, pacat yang begitu rancak dan riang gembira mendapat minuman sedap darah manusia dan macam-mcam lagi dugaan yang terpaksa ditempuhi dengan sabar. Akhirnya, kami sampai di Kem Seroja. Dan catatan episod Ekspedisi Trans-Titiwangsa V1 dinokhtahkan dengan air mata dan senyum kepuasan apabila semua peserta selamat sampai di Kaki Gunung Pintu Rimba. Alhamdulillah....

Video 1
Video 2

“Bersinergi dengan Alam: Kekalkan Kelestarian”

Peserta Projek:

  1. Mohd Fadzley Hassan (USM-Unit Sukan, Kampus Kejuruteraan)
  2. Mohamad Hekarl Uzir (USM-Kejuruteraan Kimia)
  3. Raja Azman Raja Awang (USM-Sains Pergigian)
  4. Rosmanizam Salehhoddin (USM-PAO)
  5. Norhasnira Harun (USM-Kejuruteraan Aeroangkasa)
  6. Aida Shuhaida Mustafa (USM-Bahasa, Literasi dan Terjemahan)
  7. Khairul Zaman Zakaria (USM- Kejuruteraan Polimer)
  8. Nuruddin Mohar (Swanson Plastics Malaysia, Alumni-Kejuruteraan Polimer)
  9. Mohd Nor Hafiz Arjunaiti (AIRBUS Group, Alumni-Kejuruteraan Aeroangkasa)
  10. Rais Yusoh (USM-Sains Fizik)

Teks: Aida Shuhaida Mustafa
Foto: Khairul Zaman Zakaria, Aida Shuhaida Mustafa, Mohamad Hekarl Uzir, Norhasnira Harun, Rais Yusoh

xICON-BAKAL PELAJARixICON-PELAJARxICON-IBUBAPAPELAWATxICON-STAFFxICON-ALUMNI